Tempatan

Malaysia Lulus Pelaburan RM114.7 Bilion dalam Pusat Data dan Perkhidmatan Awan

Anwar berkata, pelaburan tersebut menyediakan sebanyak 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia telah menyetujui pelaburan sebanyak RM114.7 bilion dalam pusat data dan perkhidmatan awan untuk tempoh 2021-2023.

Menerusi hantaran di laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), beliau berkata pelaburan tersebut menyediakan sebanyak 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

Oleh itu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan bahawa Kerajaan MADANI telah berkomitmen untuk memacu Malaysia sebagai destinasi Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) Lestari di rantau Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama dunia.

Anwar, yang sebelum ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 4 Tahun 2024, mengumumkan hari ini bahawa MPN telah bersetuju untuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meningkatkan kerangka insentif semasa untuk pusat data AI.

Insentif tersebut termasuk peningkatan penggunaan peralatan tenaga dan air yang cekap serta kerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam penyediaan bekalan tenaga boleh baharu yang mencukupi untuk pusat data AI.

“Dalam mesyuarat itu saya tekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam usaha berterusan menggalakkan pelaburan dalam sektor pusat data berteraskan AI. Ini terutamanya bagi meningkatkan limpahan ekonomi melalui pendigitalan serta kompleksiti ekonomi pelbagai sektor di Malaysia.

“Kerangka tersebut juga akan merangkumi padanan pemain pusat data dengan syarikat tempatan bagi tujuan pembangunan vendor tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kerjasama antara industri dan ahli akademik bagi memupuk inovasi dalam pembangunan peralatan cekap tenaga dan perisian,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu hari ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga menerusi hantaran di laman X berkata, MITI menerusi MIDA akan membentuk kerangka insentif khas untuk pusat data AI.

Sumber: BERNAMA