Tempatan

LUAS Kesan Kejadian Tumpahan Minyak di Pelabuhan Klang

Tumpahan berkenaan dipercayai akibat kebocoran paip di sebuah premis kilang penyimpanan minyak sawit. Gambar: LUAS

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengesan kejadian tumpahan minyak di pintu air Jalan Tangki, Pelabuhan Klang, berhampiran sini kira-kira jam 11 pagi semalam.

Berdasarkan pemerhatian mereka di lokasi, tumpahan itu disebabkan oleh kebocoran paip di sebuah kilang penyimpanan minyak sawit.

“Kebocoran itu dipercayai menyebabkan tumpahan minyak masuk ke dalam longkang premis serta mengalir ke parit berhampiran.

“Berdasarkan semakan LUAS di tapak itu, tiada aliran minyak memasuki Sungai Aur susulan penutupan pintu air di lokasi,” menurut LUAS dalam satu kenyataan.

LUAS memaklumkan pihak kilang juga telah menghentikan operasi dan melaksanakan pembaikan paip terbabit.

Agensi itu turut mengarahkan pihak premis melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta penyedutan sisa tumpahan di kawasan terlibat, manakala bomba turut memasang ‘oil boom’ di parit itu bagi mengawal tumpahan.

“LUAS melakukan pensampelan kualiti air dan sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA