Politik

Keazaman Rosnah Ramli, Pesakit Strok Menggunakan Ambulans Untuk Mengundi

Rosnah tiba di pusat mengundi di SK Sungai Duri dengan menggunakan bantuan ambulans. Gambar: BERNAMA

Rosnah Ramli, 50 tahun datang ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri menggunakan ambulans pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Walaupun mengalami strok yang menyebabkan kelemahan di bahagian kiri badannya selama tiga tahun, Rosnah tetap bertekad untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

“Sebenarnya anaklah yang menghubungi yayasan sejak seminggu lepas untuk memudahkan pergerakan saya ke pusat mengundi dan ini pengalaman pertama saya pergi mengundi dengan menaiki ambulans,” katanya ketika ditemui pemberita.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya seramai 5,745 pemilih berdaftar di pusat mengundi SK Sungai Duri melibatkan sembilan saluran.

Pada PRK itu hari ini, sebanyak sembilan pusat mengundi dengan 65 saluran dibuka mulai 8 pagi hingga 6 petang yang melibatkan 39,151 pengundi berdaftar.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sumber: BERNAMA