Tempatan

Lori Kontena dari Israel Dihalang Masuk, JKDM Kedah Ambil Tindakan Tegas

Lori treler yang membawa kontena dengan logo syarikat ZIM Israel yang mengandungi peralatan komputer telah dikesan cuba memasuki Malaysia melalui ICQS Bukit Kayu Hitam. Gambar: JKDM

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kedah memerintahkan sebuah lori kontena yang baru tiba di Bukit Kayu Hitam pada Khamis (Semalam) untuk pulang semula ke Thailand setelah penemuan bahawa kontena tersebut berasal dari Israel.

MTT (Menanggung Tugas-Tugas) Pengarah Kastam Negeri Kedah, Suhaime Affindi Zainol Abidin menyatakan bahawa lori treler membawa kontena yang berlogo syarikat ZIM Israel yang mengandungi dagangan peralatan komputer telah dikesan cuba memasuki Malaysia melalui Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Bagaimanapun JKDM Kedah telah menghalang lori bernombor pendaftaran asing dari Thailand yang cuba masuk melalui pintu masuk itu lebih kurang jam 12 tengah hari.

“Kenderaan terbabit ingin memasuki Malaysia dengan melakukan pengikraran Borang K1 bagi tujuan pengimportan dagangan ke dalam negara Malaysia.

“Hasil penelitian, anggota JKDM Kedah, kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ‘ZIM’ yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut.

“Susulan itu, kenderaan terbabit telah ditahan untuk mendapat pengesahan dan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menyatakan bahawa lori dengan kontena yang mengandungi dagangan tersebut kemudiannya diarah untuk pulang ke negara jiran. Menurut Suhaime Affindi, kenderaan tersebut telah dikesan meninggalkan Malaysia pada jam 1.30 tengah hari yang sama.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menyeru orang ramai untuk membantu pihak JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan, terutamanya dalam hal rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain. Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak terlibat dalam aktiviti tersebut.

Suhaime Affindi menegaskan bahawa penyeludupan bukan sahaja menjejaskan hasil negara tetapi juga membawa ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.