Satu kerangka baharu untuk mengawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet akan diperkenalkan pada 1 Ogos ini dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
Dengan kerangka baharu ini, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Sabtu menyatakan bahawa kegagalan untuk memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan.
Menurut kenyataan tersebut, tindakan perundangan boleh diambil di bawah Akta 588.
MCMC juga menambah bahawa keputusan ini selaras dengan arahan Jemaah Menteri yang menghendaki kedua-dua perkhidmatan tersebut mematuhi undang-undang Malaysia.
Ia adalah demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Sebelum ini, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.
“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna,” menurut kenyataan tersebut.
MCMC juga menyatakan bahawa langkah terbaharu ini akan mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna khususnya kepada kanak-kanak dan seluruh keluarga.