
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mempromosikan Batik Perak sebagai produk istimewa terbaharu yang berpotensi menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata penggunaan tanah liat akan dijadikan salah satu bahan alternatif dalam penghasilan Batik Perak.
“Saya tidak mahu mendedahkan lebih lanjut mengenai Batik Perak ini kerana kita akan memperincikan lebih lanjut pada satu majlis bulan depan.
“Selama ini orang kenal Ipoh dengan pelancongan gastronomi, ekopelancongan atau bandar kreatif, jadi kita mahu memperkenalkan batik dengan jenama Batik Perak di bawah pelancongan budaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mural ‘City of Music’ Bandar Kreatif Ipoh UNESCO sempena sambutan ulang tahun ke-2 Lorong Seni @ Lorong Panglima di sini hari ini.
Rumaizi berkata setakat ini sebanyak 12 pengusaha batik tempatan terlibat dalam proses pembuatan Batik Perak yang akan menampilkan pelbagai motif dan corak.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan Batik Perak akan dapat memasuki pasaran antarabangsa termasuk China, Vietnam dan Thailand.
Sementara itu, lebih 3,000 warga Ipoh telah meriahkan sambutan hari ini dengan pelbagai acara menarik, termasuk jualan kraftangan, karikatur, jualan kopi, pertandingan mencari bakat, demonstrasi Labu Sayong dan lukisan potret, serta pertandingan batu seremban dan mewarna.
