Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengakui bahawa beliau tidak mempunyai maklumat mengenai senarai penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang yang dikatakan telah tersebar lebih awal di kalangan orang awam.
Kon Yeow menyatakan bahawa dia hanya mengetahui perkara tersebut selepas ditanya oleh wartawan pada hari Ahad.
“Saya tidak tahu tentang perkara ini. Ini satu berita buat saya. Saya tidak terima apa-apa maklumat setakat ini.
“Mengenai kebocoran senarai nama penerima pingat, memang saya tidak tahu langsung,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Musings In George Town’ di sini pada Ahad.
Sebelum ini, terdapat desas-desus bahawa senarai penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan Ulang Tahun ke-75 Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah tersebar melalui aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu. Senarai tersebut sepatutnya tidak tersebar lebih awal kerana majlis sambutan hanya akan bermula pada hujung bulan ini.
Mengenai dakwaan bahawa beberapa individu yang telah menerima darjah kebesaran dalam tempoh kurang tiga tahun lalu turut tersenarai dalam senarai bagi tahun ini, Kon Yeow menjawab bahawa hal ini tidak sepatutnya terjadi jika dakwaan tersebut benar.