Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah melancarkan KedaiFGV.com, platform dalam talian milik FGV Holdings Bhd yang menyediakan produk tempatan berkualiti tinggi kepada masyarakat umum.
Kemudahan tersebut juga menunjukkan komitmen FGV untuk memastikan bekalan produk makanan berkualiti tinggi dan bermanfaat tetap stabil dan terjamin pada harga yang berpatutan untuk negara, sejajar dengan visi kumpulan dalam menyampaikan makanan dan produk pertanian mampan kepada dunia.
Platform pusat sehenti dalam talian tersebut menawarkan pilihan yang luas termasuk pelbagai jenama makanan FGV seperti Saji, Adela, Seri Pelangi, Gula Prai, Ladang’57 dan Bright Cow.
Majlis pelancaran KedaiFGV.com berlangsung sempena Festival FGV pada Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
KedaiFGV.com menawarkan kemudahan beli-belah makanan dengan bakul serta pakej khas pada harga promosi istimewa memberi pelanggan peluang untuk menjimatkan lebih banyak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Nazrul Mansor berkata KedaiFGV.com juga merupakan satu titik perubahan bermakna bagi FGV.
“FGV sebagai sebuah syarikat keterjaminan makanan negara, menerapkan inovasi untuk memperkasa rakyat Malaysia dengan akses mudah kepada makanan tempatan berkualiti tinggi.
“Ini tidak hanya meningkatkan aspek kepuasan pelanggan, tetapi turut memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan.
Nazrul juga menggambarkan KedaiFGV.com sebagai permulaan dalam visi jangka panjang, membuka pintu kepada kedai fizikal sambil mempraktikkan pertanian lestari untuk memastikan masa depan bekalan makanan yang terjamin dan sejahtera untuk generasi akan datang.
Selain dijangka memberi sumbangan hasil yang penting tahun ini, KedaiFGV.com juga bersedia untuk menjadi pemangkin utama dalam jaminan makanan di Malaysia.