Pulau Tioman menjadi pulau pertama di Malaysia yang menurunkan tukun tiruan gerabak sistem transit aliran ringan (LRT), diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) dalam kategori bangunan dan struktur.
Majlis pelancaran MBOR “The First LRT Coach Reef in Malaysia” telah disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Berjaya Tioman Resort.
Turut hadir Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah bertitah inisiatif yang dicetuskan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu diharap dapat memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut.
“Beta harap tukun ini akan sedikit sebanyak membawa tarikan kepada pengunjung khususnya mereka yang minat dalam bidang selaman.
“Beta harap (dengan) terbinanya tukun ini, ekosistem marin di sekeliling Pulau Tioman akan bertambah baik dan beta juga mengalu-alukan banyak lagi usaha untuk merehabilitasikan tukun yang sudah mati di pulau ini,” titah baginda ketika merasmikan majlis berkenaan.
Baginda turut menzahirkan keinginan untuk menyelam di lokasi tukun LRT itu yang dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.
“Beta sendiri akan cuba selam nanti sebab beta agak terpanggil selepas tengok video tadi dan ini akan kita buat satu lagi temu janji untuk berada di Pulau Tioman dalam masa terdekat, insya-Allah,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga menasihati pihak berwajib terutamanya YASA dan Lembaga Pembangunan Tioman untuk terus memantau gerabak LRT tersebut demi memastikan keselamatannya dengan tujuan mengelakkan kejadian yang tidak diingini terhadap penyelam.
Pengurus Besar YASA, Mohd Fakhrul Islam Juhali menyatakan bahawa usaha melabuhkan dua gerabak LRT itu melibatkan 60 penyelam di bawah pimpinan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Beliau juga menjelaskan bahawa objektif utama program tersebut adalah untuk memperkenalkan terumbu karang baru yang dikenali sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.
“Tapak ini direncanakan dapat meningkatkan kelestarian biodiversiti marin dengan menyediakan kawasan pembiakan ikan dan hidupan marin lain.
“Kita juga berharap tapak selaman ini dapat meningkatkan ekonomi tempatan dengan menarik lebih ramai lagi pelancong ke Pulau Tioman,” katanya.
Beliau berkata Pulau Tioman dipilih sebagai lokasi program itu kerana kekayaan persekitaran marin dan kepentingan strategiknya sebagai destinasi pelancongan utama di Pahang.
“Pulau ini merupakan pulau terbesar dalam kumpulan sembilan pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tioman.
“Antara aktiviti yang popular di pulau ini ialah snorkeling dan selam skuba kerana terumbu karangnya selain menjadi laluan pendakian yang membawa pelawat ke air terjun yang cukup menakjubkan,” katanya.