Kerajaan Selangor telah mengambil beberapa langkah awal untuk memastikan keselamatan pengguna jalan selepas kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada Isnin. Tanah runtuh tersebut menyebabkan jalan terputus di kedua arah.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim, menyatakan bahawa tindakan awal dan langkah segera telah diambil di lokasi kejadian termasuk memberi maklumat awal di persimpangan menuju ke tempat kejadian.
“Antara cadangan tindakan awal yang sedang disemak di tapak dan dikenal pasti kebolehlaksanaan adalah dengan pemasangan ‘Bailey Bridge’. Selain itu, (pengguna boleh menggunakan) laluan alternatif sementara yang melalui kawasan tanah persendirian berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Izham menyatakan bahawa operator lori sampah dari Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menawarkan untuk membina pembetung sementara di jalan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut masih dalam proses penelitian.
“Kami, bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), akan terus mengutamakan keselamatan pengguna jalan dan masyarakat di sekitarnya,” katanya.