Tempatan

Keputusan permohonan kemasukan ke universiti awam akan diumum hari ini

Pengesahan setuju terima tawaran bermula 7 hingga 15 Sept, dan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan selepas pengesahan diterima. – Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda Sesi Akademik 2024/2025 untuk lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, seperti Sijil Agama Tinggi Malaysia (STAM), matrikulasi, asasi, dan diploma, akan diumumkan hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini, keputusan boleh disemak secara dalam talian mulai 12 tengah hari hari ini hingga 5 petang pada 15 September. Semakan boleh dilakukan melalui pautan berikut: https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my; dan https://jpt.umt.edu.my atau melalui aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

Pengesahan penerimaan tawaran boleh dilakukan dari 7 hingga 15 September di laman sesawang universiti masing-masing. Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh universiti kepada calon yang berjaya selepas mereka membuat pengesahan.

Pemohon yang tidak berjaya boleh mengemukakan rayuan melalui UPUOnline(R) di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari, bermula dari 12 tengah hari pada 6 September 2024 hingga 5 petang, 15 September.

KPT turut memaklumkan bahawa tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan permohonan untuk pertukaran program pengajian atau UA tidak dibenarkan. Pemilihan rayuan bergantung kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian yang ditawarkan.

Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan UPUOnline(R) boleh diajukan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA di Jabatan Pendidikan Tinggi, Presint 5, Putrajaya.