JenayahTempatan

Tuntutan palsu Perkeso: Dua doktor direman empat hari

Semua suspek tiba ke Kompleks Mahkamah dengan berpakaian lokap SPRM kira-kira jam 9 pagi tadi. – Gambar/ Astro AWANI

GEORGE TOWN: Dua lagi doktor hospital kerajaan dan seorang ejen direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kartel yang memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perintah reman terhadap tiga suspek yang berusia 32, 43, dan 50 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin di Mahkamah Majistret Jenayah 1, George Town pada Khamis.

Mereka direman untuk siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda minimum lima kali ganda nilai butir palsu atau RM10,000, bergantung pada mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Sebelum itu, ketiga-tiga suspek tiba di Kompleks Mahkamah dengan berpakaian lokap SPRM sekitar jam 9 pagi. Mereka ditahan dalam satu operasi di Pulau Pinang pada Rabu, susulan penahanan tiga doktor dan 30 individu lain yang terlibat dalam kes sama sehari sebelumnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tiga doktor dan 30 individu direman selama satu hingga tiga hari untuk membantu siasatan, selepas disyaki terlibat dengan kartel yang memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso bernilai RM2.1 juta sejak 2017.

Setakat ini, lima doktor pakar tulang dan 31 individu lain telah ditahan. Sumber menyatakan bahawa tuntutan palsu itu kebanyakannya melibatkan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan masalah tulang rawan tergelincir (Slip Disc). Pemohon dikatakan menerima 50% daripada jumlah tuntutan, manakala baki 50% dibahagikan antara doktor, ejen, dan runner.