Keputusan untuk tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu dibuat setelah semua aspek dikaji, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Ketika memberikan penjelasan mengenainya di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan untuk mengekalkan keputusan tersebut yang telah dimaklumkan melalui surat kepada Ketua Whip Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee, bertarikh 9 Julai lepas.
“Saya sebut saya bukan posmen. Bila saya menerima apa juga diberikan kepada saya…saya akan memastikan saya kaji semua sekali.
“Saya baca kenyataan-kenyataan dalam pembinaan pindaan yang dibuat tentang Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan) itu. Saya ambil keputusan, keputusannya kekal seperti yang telah saya maklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku,” katanya.
Melalui surat kepada Ronald mengenai keputusan terhadap notis pemakluman kekosongan kerusi lima Ahli Parlimen Bersatu, Johari memaklumkan bahawa Perlembagaan Bersatu telah menafikan hak lima Ahli Parlimen tersebut sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Dalam surat berasingan mengenai keputusan untuk tidak mengosongkan kerusi Parlimen Labuan, Johari memaklumkan bahawa beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak yang sedang berbicara dalam kes mahkamah susulan tindakan Ahli Parlimen berkenaan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang menyaman Bersatu.
Selain Suhaili, lima Ahli Parlimen yang terlibat ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
“Pindaan Perlembagaan parti Bersatu dibuat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan pindaan-pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan dibuat sebelum itu.
“Pada hemat saya perkara itu adalah sesuatu yang telah diputuskan dan tidak boleh dicabar kerana Speaker telah mengambil kira bahawa pindaan perlembagaan parti Bersatu dibuat selepas PRU dan selepas keenam orang itu menyatakan sokongan kepada Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar),” katanya.
Percanggahan pendapat antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyebabkan sesi Dewan Rakyat terhenti hampir 30 minit ketika perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.