Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa agama kerap disalahgunakan untuk kepentingan kumpulan kecil tertentu akibat kejahilan atau salah faham.
Oleh itu, beliau menekankan bahawa setiap individu perlu memiliki pemahaman yang lebih mendalam dan tepat mengenai agama bagi memastikan ia dapat berfungsi secara positif dan inklusif untuk semua.
“…. dengan pencerahan dan kefahaman yang lebih mendalam, kita boleh berbicara tentang MADANI, Islam dan Ketuanan Melayu… tanpa kefahaman mendalam, ia akan menjadi kupasan yang dangkal.
“Islam akan menjadi bahan yang meremehkan orang lain, tidak mengangkat martabat mereka dan kaum akan menjadi alasan bagi kelompok yang berkuasa atau bercita-cita tinggi untuk memperalat serta menakut-nakutkan supaya mereka boleh merampok sebanyak mungkin,” katanya ketika berucap pada Forum MADANI Global 2024 di sini.
Forum dua hari bertemakan ‘Catalysing The Next Civilisation Revival’ itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa konsep MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinannya mendukung prinsip keadilan serta keterangkuman kerana ia tidak boleh bersifat eksklusif dalam konteks Malaysia yang merupakan sebuah negara berbilang bangsa dan agama.
“Di kebanyakan negara termasuk Malaysia, atau Indonesia, atau Mesir, ia diterajui orang Islam kerana mereka membentuk majoriti namun penglibatan adalah terbuka untuk mereka yang memahami nilai-nilai kebebasan. Prinsip keadilan, kehormatan dan maruah untuk setiap rakyat,” katanya.
Dalam hantaran di laman Facebook, Anwar menyatakan bahawa tumpuan kepada pembangunan ekonomi di Malaysia juga tidak seharusnya mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan. Beliau menegaskan bahawa kerangka MADANI adalah bersepadu dengan menggabungkan elemen keadilan, kebebasan, nilai, serta kepentingan kepada kemakmuran ekonomi.
“(Ia juga) menyemangati idea dan cetusan nurani mantan Perdana Menteri Indonesia Bapak Mohammad Natsir yakni jangan membangun sambil meruntuhkan,” katanya.
Anwar turut berkongsi pengisian ucapan beliau pada Forum Global MADANI 2024 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini.
Perdana Menteri juga berkata cabaran kini ialah menjelmakan idea MADANI dalam konteks realiti dengan mengambil kira kekuatan material dan keadaan sosiopolitik semasa.
Beliau juga menyatakan bahawa gerakan perubahan meratakan kefahaman seperti ini penting agar ia inklusif dan dirasakan oleh rakyat terbanyak.
“Justeru, saya zahirkan penghargaan kepada IKIM dan rakan strategiknya atas penganjuran program ini serta kepada semua pembentang dan peserta dari dalam serta luar negeri.
“Semoga ia bermanfaat dan mampu memberi pencerahan mengenai Malaysia MADANI yang kita dukung hari ini,” katanya.