MUAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia sedang mengkaji kaedah kawal selia yang sesuai bagi menguruskan hal ehwal pesara polis dan bekas polis.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata ia bagi menjamin kebajikan golongan itu yang meliputi sejumlah 42,278 orang setakat hujung tahun lepas, selain menghargai sumbangan dan jasa mereka.
“Berdasarkan unjuran persaraan pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis pada 2023, dianggarkan seramai 3,990 orang yang akan bersara menjadikan jumlah pesara polis menjelang penghujung tahun 2023 adalah seramai 46,268 orang.
“Bilangan ini merupakan satu bilangan yang besar untuk diuruskan dan memerlukan satu kaedah kawal selia yang teratur diwujudkan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pesara Polis Johor Cawangan Muar di sini hari ini.
Shamsul Anuar berkata sebagai Pengerusi Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP), beliau turut melihat terdapat keperluan untuk mengkaji semula bentuk bantuan yang diberikan di bawah tabung berkenaan.
Katanya perkara itu mengambil kira perubahan sosioekonomi negara ketika ini. TAWP diwujudkan untuk membantu hal-hal kebajikan pegawai dan anggota polis yang telah bersara termasuk tanggungan mereka.
Ia meliputi khairat kematian, bantuan pergerakan, bantuan perubatan/anggota palsu, bantuan pendidikan dan bantuan bencana alam.
Sumber: Berita Awani