Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun ditemui lemas di dalam kawasan takungan air di laluan longkang utama Perumahan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok pada hari Jumaat.
Mangsa itu ialah Muhammad Aiman Harith Mohd Hashim, seorang murid Tahun Empat dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru, Sintok yang dikatakan sedang memancing bersama tiga rakan di lokasi kejadian kira-kira 20 meter dari perumahan tersebut sebelum dia ditemui lemas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, mengesahkan pihaknya menerima laporan pada jam 4.55 petang.
“Mangsa ditemui oleh pengawal keselamatan UUM dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang bertugas di klinik UUM.
“Berdasarkan siasatan, mangsa bersama tiga rakannya memancing di tempat kejadian dan selepas itu, mereka dipercayai mandi di dalam takungan air itu sebelum mangsa ditemui lemas,” katanya.
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Hashim Nazri, 36, berkata ketika kejadian, dia berada di rumah bersama anak perempuan bongsu, Nurisya Amanda, 5, manakala isteri, Siti Noorazar Shamsudin, 30-an keluar bekerja di Jabatan Keselamatan UUM pada jam 2 petang.
“Ketika kejadian berlaku hujan hujan lebat baru berhenti menyebabkan kawasan takungan itu dipenuhi air.
“Tidak lama kemudian saya menerima panggilan daripada isteri yang memberitahu anak kami lemas dan terus bergegas ke lokasi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.
Mohd Hashim berkata, beberapa jam sebelum kejadian, sebelum kejadian arwah anak sulung dari dua beradik itu sempat mengikut ibunya mendaki bukit di kawasan Sintok dan pulang ke rumah sebelum tengah hari.
Katanya, dia berasa tidak sedap hati sebelum kejadian berlaku namun tidak menyangka perkara buruk berlaku sehingga menyebabkan anaknya pergi buat selama-lamanya.
“Namun saya sekeluarga redha dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya lagi, jenazah anaknya akan dikebumikan di kampung di Pida 4 Lama, Jalan Sanglang, Kodiang selepas selesai urusan bedah siasat selesai.