Tempatan

Jualan Kenderaan Baharu Malaysia Menurun 4%

Jualan kenderaan baharu Malaysia turun 4% kepada 69,859 unit pada Oktober 2024 berbanding 76,173 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

Jualan kenderaan baharu di Malaysia menyusut empat peratus kepada 69,859 unit pada Oktober 2024 berbanding 76,173 unit dalam bulan sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Walau bagaimanapun, jumlah volum industri (TIV) pada Oktober meningkat 20 peratus berbanding September 2024 yang mencatatkan 58,032 unit. Menurut MAA, peningkatan TIV ini didorong oleh kempen promosi berpanjangan sempena bulan bekerja dan akhir tahun oleh syarikat-syarikat kereta.

MAA melaporkan bahawa sebanyak 64,322 unit kenderaan penumpang (PV) dijual pada Oktober, penurunan enam peratus berbanding 68,721 unit dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Jualan kenderaan komersial (CV) pula merosot 26 peratus daripada tahun ke tahun iaitu dari 7,452 unit kepada 5,537 unit.

Bagi keseluruhan jualan sepanjang 10 bulan pertama 2024, jumlahnya meningkat 2.4 peratus kepada 664,002 unit berbanding 648,130 unit dalam tempoh sama pada 2023. TIV bagi kenderaan penumpang (PV) naik lima peratus kepada 608,225 unit manakala TIV untuk kenderaan komersial (CV) menurun 16 peratus kepada 55,777 unit.

Dari segi pengeluaran, sebanyak 71,196 unit kenderaan dikeluarkan pada Oktober 2024 merosot empat peratus berbanding 74,191 unit dalam bulan yang sama tahun lalu. Ini termasuk 66,906 unit PV (turun empat peratus dari 69,475 unit pada Oktober 2023) dan 4,290 unit CV (berkurang sembilan peratus daripada 4,716 unit).

Sehingga kini, jumlah pengeluaran keseluruhan untuk 2024 adalah sebanyak 664,246 unit naik empat peratus daripada 640,633 unit yang dikeluarkan pada tempoh sama tahun lalu. Ini merangkumi 626,364 unit PV (naik empat peratus dari tahun ke tahun) dan 37,882 unit CV (turun enam peratus).

MAA optimis bahawa momentum jualan akan berterusan pada November 2024 dan menjangkakan jualan yang lebih tinggi berbanding Oktober.