Airbus mengunjurkan bahawa sektor penerbangan Asia Pasifik akan memerlukan sekitar 19,500 pesawat baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang, mewakili 46% daripada permintaan global yang dijangka mencecah 42,430 pesawat menjelang 2043. Unjuran ini merangkumi negara-negara seperti China dan India yang masing-masing dijangka mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3% dalam keperluan pesawat baharu.
Menurut Airbus, peningkatan permintaan ini akan terus mengembangkan kumpulan pesawat di rantau ini dengan keperluan penggantian pesawat lama dan inisiatif kemampanan menjadi keutamaan. Sekitar 71% daripada pesawat yang dihantar akan digunakan untuk menyokong pertumbuhan baharu, manakala 29% lagi akan menggantikan model lama menyumbang kepada usaha penyahkarbonan industri penerbangan.
Dalam sektor kargo, Asia Pasifik dijangka memerlukan sekitar 250 pesawat pengangkut berbadan lebar yang mewakili 10% daripada permintaan global untuk pesawat kargo baharu. Dari segi aliran trafik penumpang, rantau ini diunjur mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 4.8% mengatasi kadar pertumbuhan global yang dijangka hanya 3.6%.
Airbus menyatakan bahawa Asia Pasifik sebagai salah satu pasaran penerbangan yang paling pesat berkembang, bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan signifikan dalam dua dekad akan datang. Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Stanley membentangkan laporan ini semasa Perhimpunan Tahunan Presiden Penerbangan Asia-Pasifik (AAPA) di Bandar Seri Begawan, Brunei yang dihadiri oleh pemimpin syarikat penerbangan serantau.