
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah menerusi enam serbuan di sekitar Lembah Klang pada 10 September lalu. Operasi yang dijalankan di Ampang, Petaling, Kepong, Brickfields, Subang Jaya dan Sepang itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM35.24 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 11 suspek berusia antara 25 hingga 48 tahun ditahan, terdiri daripada enam lelaki tempatan serta dua lelaki dan tiga wanita warga asing. Dua lelaki warga asing yang masing-masing memegang pasport Australia dan Kanada dipercayai bertindak sebagai dalang serta ahli kimia sindiket berkenaan yang aktif sejak Januari lalu.
Siasatan mendapati sindiket itu dipercayai menyewa sebuah banglo di Ampang untuk dijadikan makmal memproses dadah. Serbuan berasingan di Subang Jaya turut menemukan pelbagai peralatan memproses dadah, manakala premis berkenaan dipercayai sedang dipersiapkan untuk dijadikan sebuah lagi makmal penghasilan bahan terlarang.
Antara dadah yang dirampas ialah 344.89 kilogram serbuk methamphetamine, 347.15 liter cecair methamphetamine, 3.84 kilogram serbuk MDMA, 630 gram pil Eramin 5 dan 20 gram ganja. Keseluruhan rampasan itu dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira tiga juta pengguna serta dipercayai disasarkan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Polis turut menyita 11 kenderaan, seutas jam tangan mewah, dua kad ATM, wang tunai RM3,610 serta sepucuk pistol revolver .38, dengan nilai keseluruhan aset berjumlah RM1.79 juta. Lima suspek direman selama 13 dan 14 hari sehingga 23 dan 24 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam lagi dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan saksi polis.




