Tempatan

JPN Hampiri Fasa Akhir Kad Pengenalan Baharu

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini berada dalam peringkat terakhir untuk memuktamadkan proses perolehan kad pengenalan berstruktur baharu yang akan menggantikan versi semasa, yang telah digunakan sejak 2012.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, menyatakan bahawa penggantian ini bertujuan memastikan kad pengenalan keluaran JPN memiliki ciri keselamatan yang lebih tinggi, terlindung, dan seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

“Kad pengenalan baharu ini juga bertujuan mencegah sebarang cubaan pemalsuan dan penyalahgunaan, memandangkan dokumen ini adalah penting bagi rakyat Malaysia,” jelas beliau semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai perkembangan terkini pelaksanaan kad pengenalan generasi baharu oleh kerajaan.

Shamsul Anuar memaklumkan bahawa kad pengenalan baharu itu akan diperbuat daripada bahan polikarbonat dengan cip keselamatan berkapasiti storan yang lebih besar. Cip ini dilengkapi piawaian penyulitan keselamatan yang ditingkatkan untuk mengurangkan risiko pemalsuan dan kebocoran data.

“Reka bentuk kad ini juga lebih moden, dengan elemen laser engrave dan hologram canggih yang selaras dengan kemajuan teknologi dan keperluan keselamatan tinggi,” tambah beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa KDN dan JPN sedang menjalankan kajian pasaran untuk memastikan pengeluaran kad ini menepati prinsip nilai terbaik tanpa membebankan kerajaan, selain menjamin penggunaan sumber yang optimum.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar mendedahkan bahawa sebanyak 2,103 operasi penguatkuasaan telah dijalankan di seluruh negara sejak 2022 hingga 31 Oktober 2024. Operasi tersebut melibatkan 1,606 operasi oleh JPN sendiri dan 497 operasi secara kolaborasi bersama agensi penguatkuasaan lain.

Hasil daripada operasi ini, sebanyak 519 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Daripada jumlah tersebut, 190 individu didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e), yang merangkumi 130 kes penggunaan kad pengenalan palsu dan 60 kes memiliki kad pengenalan milik orang lain.

“Ini menunjukkan keperluan untuk membangunkan kad pengenalan dengan teknologi terkini bagi menangani isu-isu seperti ini secara lebih berkesan,” ujar beliau sebagai jawapan kepada soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkenaan jumlah kes pemalsuan kad pengenalan.