Sukan

John Cena Bakal Bersara dari Dunia Gusti pada 2025

John Cena hari ini mengumumkan keputusannya untuk bersara dari gelanggang gulat pada tahun depan. Gambar: REUTERS

Bintang WWE dan pelakon terkenal, John Cena, hari ini mengejutkan peminat dengan mengumumkan bahawa beliau akan bersara daripada gelanggang gusti pada tahun depan.

Pengumuman itu dibuat semasa beliau muncul di acara WWE Money in the Bank 2024 di Toronto, Ontario, Kanada pada hari Ahad.

Cena, 47, yang memulakan kerjaya lakonannya 18 tahun lalu, berkata beliau akan melakukan persembahan terakhirnya di gelanggang WWE pada tahun 2025 sebagai sebahagian daripada ‘jelajah perpisahannya’.

“Malam ini, saya secara rasmi mengumumkan persaraan saya daripada WWE,” katanya kepada peminat di Toronto yang kemudiannya meneriakkan “terima kasih Cena”.

Dalam pengumuman tersebut, Cena turut merakamkan penghargaan buat peminat-peminat WWE kerana “membenarkannya bermain di rumah yang mereka bina selama bertahun-tahun”.

Selepas itu, dalam sidang media, Cena bagaimanapun menyatakan hasratnya untuk terus menjadi sebahagian daripada keluarga WWE dalam pelbagai kapasiti walaupun mengakui dirinya sudah “sampai ke penghujung” dari segi fizikal.

Selain itu, Cena juga mendedahkan bahawa WrestleMania 41 akan menjadi penampilan terakhirnya dalam WrestleMania.

Walau bagaimanapun, beliau merancang untuk membuat 30 hingga 40 penampilan sepanjang tahun 2025 termasuk selepas WrestleMania.

“Saya berharap untuk mengakhiri penyertaan saya di gelanggang dengan sebaik mungkin. Dan menjadi ahli keluarga besar WWE untuk tempoh yang agak lama,” ujarnya.

“Saya tidak berniat untuk terlibat secara fizikal dalam apa cara sekalipun. Tiada ‘jatuh atas meja secara tidak sengaja’. Tiada semua itu. Saya akan menjadi peminat dan penyokong, dan itu sahaja.”

Cena, yang sering dianggap sebagai salah seorang penggusti profesional terhebat sepanjang zaman, telah meraih gelaran juara dunia WWE sebanyak 16 kali sejak menyertai organisasi itu pada tahun 2001.

Selain kerjaya gusti, Cena juga terkenal sebagai pelakon dengan membintangi beberapa filem besar termasuk The Marine, The Suicide Squad, Bumblebee, Fast & Furious 9 dan Teenage Mutant Ninja Turtles.

Beliau juga memegang rekod dunia Guinness atas sumbangannya kepada badan amal Make-A-Wish, sebagai selebriti yang paling kerap diminta oleh kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.

Sumber: Astro Awani