Tempatan

Pengunjung PMR Zon Timur Cecah Rekod Tertinggi

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan berakhir hari ini dengan mencatat jumlah pengunjung tertinggi dalam tiga siri penganjurannya. Gambar: Facebook Zahid Hamidi

Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan berakhir hari ini dengan mencatat jumlah pengunjung tertinggi dalam tiga siri penganjurannya dengan lebih daripada 336,000 orang hadir sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa jumlah tersebut meningkat berbanding PMR Zon Tengah di Kuala Selangor pada Februari dan Zon Utara di Pulau Pinang pada Mei yang masing-masing mencatatkan 151,638 dan 289,228 pengunjung.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata nilai transaksi jualan secara tunai dan padanan perniagaan yang direkodkan sejak Jumaat sehingga 12 tengah hari tadi berjumlah RM1.57 juta.

“PMR 2024 Siri Ketiga di Zon Timur ini telah mencapai impak bukan sahaja dari segi jumlah pengunjung dan nilai transaksi malah memberi persepsi positif bahawa rakyat di Pantai Timur menjadikan program ini sebagai platform untuk memahami, menilai dan melihat inisiatif dan dasar baharu Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selaku kementerianpeneraju bagi PMR kali ini mengetengahkan elemen pembangunan usahawan desa dan padanan perniagaan sebagai platform dan peluang bagi usahawan untuk memasar, menjual dan memperkenalkan produk mereka kepada warga Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri berkata PMR Zon Timur yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KKDW dan Kerajaan Negeri Pahang berkonsepkan ‘turun padang’.

Menurutnya, ini menjadi wadah bagi kerajaan untuk bertemu dengan rakyat, sebagai saluran komunikasi berterusan untuk mendengar secara langsung masalah yang dihadapi oleh mereka. Selain itu, ia memudahkan rakyat berurusan dan mendapat manfaat yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha membina negara yang lebih progresif selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Program MADANI Rakyat Zon Timur adalah kesinambungan dari Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang diperluas penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon. Sesi PMR seterusnya akan diadakan di Zon Selatan, Johor Bahru pada 15 hingga 17 Ogos akan datang.

Sumber: BERNAMA