Tempatan

Isu FashionValet: Vivy dan suami keluar dari SPRM diiringi pegawai penyiasat

Seorang pegawai wanita SPRM dilihat berada dalam kenderaan yang membawa Vivy dan suaminya keluar dari ibu pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.

PUTRAJAYA: Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, dilihat meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 4.23 petang, Rabu.

Berdasarkan pemerhatian media, pasangan itu keluar dari ibu pejabat SPRM diiringi seorang pegawai berpakaian jaket dengan logo suruhanjaya tersebut. Pegawai wanita SPRM tersebut berada di tempat duduk hadapan kenderaan yang membawa Vivy, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengamal media yang merakam situasi itu.

Usaha media untuk menemu bual pasangan tersebut tidak berjaya kerana kenderaan mereka terus bergerak meninggalkan ibu pejabat SPRM tanpa berhenti.

Menurut sumber, kehadiran Vivy di ibu pejabat SPRM adalah untuk mendapatkan beberapa dokumen yang diperlukan bagi siasatan.

Ketika ditanya sama ada Vivy dan suaminya akan ditahan atau dipanggil semula ke SPRM Putrajaya, sumber itu menyatakan keputusan bergantung pada pegawai yang menjalankan siasatan. “Setakat ini, proses rakaman percakapan hari ini telah selesai,” katanya pada Rabu.