DUBAI: Serangan Israel di bandar Sidon, Lubnan, pada Khamis telah mengorbankan tiga orang awam tempatan, selain mencederakan tiga anggota tentera Lubnan dan empat anggota pasukan UNIFIL dari Malaysia.
Menurut laporan Reuters yang memetik kenyataan tentera Lubnan, serangan tersebut menyasarkan sebuah kenderaan yang mendekati pos pemeriksaan, mengakibatkan tiga warga Lubnan di dalamnya terbunuh.
Pada masa yang sama, empat anggota Malbatt 850-12 dari Malaysia yang berkhidmat dengan UNIFIL turut mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan letupan, menurut kenyataan tersebut.
Anggota tentera Lubnan yang cedera sedang menjalankan tugas di pos pemeriksaan itu, manakala anggota UNIFIL berada dalam kenderaan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kebetulan melalui pos yang sama.
UNIFIL menyatakan bahawa konvoi pengaman yang membawa anggota baru tiba di selatan Lubnan sedang melalui Saida (Sidon) apabila serangan dron berlaku di kawasan berdekatan.
“Mereka yang cedera kini dirawat oleh pasukan Palang Merah Lubnan di lokasi kejadian dan akan meneruskan perjalanan ke pos penempatan mereka,” kata UNIFIL melalui akaun rasmi X.
UNIFIL turut menggesa semua pihak untuk menghindari tindakan yang membahayakan anggota pengaman dan menekankan bahawa segala perbezaan perlu diselesaikan melalui rundingan, bukan keganasan.