JenayahTempatan

Kes buli UPNM: Hasil siasatan akan dimuktamadkan pada Jumaat ini – Menteri

Mohamed Khaled berkata pengajian membabitkan pelajar yang terlibat dalam kejadian itu masih berjalan seperti biasa. – Gambar fail

PETALING JAYA: Hasil siasatan berhubung kes buli dan penderaan yang melibatkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dimuktamadkan pada Jumaat ini, menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menjelaskan bahawa siasatan ini dikendalikan oleh lembaga siasatan yang terdiri daripada pihak polis dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), yang turut akan membentangkan cadangan garis panduan mengenai disiplin.

“Saya ada membaca (mengenai perkembangan kes itu) dari laporan media, dan kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara. Lembaga siasatan akan membuat keputusan muktamad pada Jumaat ini dan membentangkan cadangan garis panduan disiplin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Tambah beliau, pengajian para pelajar yang terlibat dalam kes tersebut masih berjalan seperti biasa.

Sebelumnya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, melaporkan bahawa kertas siasatan telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, dengan 16 individu sudah dirakam keterangan setakat Ahad lepas.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan bahawa siasatan sedang dilakukan terhadap kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli oleh pelajar senior, dipercayai menggunakan seterika panas yang ditekap pada dada mangsa sehingga menyebabkan kesan lecur, sebagaimana yang tular di media sosial. Perkara ini terbongkar selepas pemeriksaan berkala oleh jurulatih bertugas yang melihat kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan notis pembatalan kontrak perolehan helikopter Black Hawk kepada syarikat yang mendapat kontrak penyewaan empat helikopter tersebut, kerana syarikat itu gagal memenuhi tarikh akhir penghantaran yang dilanjutkan hingga 30 Oktober lepas.

“Tarikh serahan pada Oktober sudah berakhir, jadi kami telah menghantar notis pembatalan,” katanya.

Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak penyewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services, untuk tempoh lima tahun bernilai RM187 juta. Mengikut perjanjian, helikopter pertama sepatutnya dihantar pada November 2023 tetapi tempoh itu dilanjutkan ke April tahun ini.

Pada Ogos lepas, Kementerian Pertahanan telah menerima maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara mengenai cadangan pembatalan kontrak penyewaan Black Hawk kepada Tentera Darat, dan lanjutan kontrak diberikan hingga Oktober.