Sebanyak 80 jenis barangan segar mencatatkan penurunan harga berikutan pengukuhan nilai mata wang ringgit antara penghujung Julai hingga September yang lalu, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Namun, KPDN juga memaklumkan bahawa terdapat 72 barangan dalam kategori yang sama mengalami peningkatan harga dalam tempoh tersebut. Kementerian itu menjelaskan bahawa antara barangan yang mencatatkan penurunan harga terendah adalah tomato (satu kilogram) manakala kenaikan harga tertinggi pula adalah kubis bunga (satu kilogram).
“Bagi kategori barangan lain seperti barangan kering, barangan berbungkus, barangan produk bayi, barangan kebersihan dan barangan minuman, harga adalah lebih stabil dengan kadar kenaikan dan penurunan harga purata kurang daripada 10 peratus,” demikian menurut KPDN dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Penjelasan itu diberikan bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin mengetahui mengapa harga barang meningkat ketika ringgit lemah tetapi tidak menurun setelah ringgit kembali kukuh serta tindakan KPDN untuk menurunkan harga barang selepas itu.
Menurut KPDN, perubahan harga barangan adalah sesuatu yang lumrah bagi negara yang mengamalkan ekonomi pasaran terbuka seperti Malaysia. Namun, adalah penting untuk memastikan harga barangan stabil dan tiada perubahan mendadak.
Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh KPDN bagi memastikan kestabilan harga barangan termasuk kawalan harga barangan bersubsidi, kawalan harga tanpa subsidi, skim harga maksimum musim perayaan (SHMMP) dan sistem kawalan diesel bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).
Sementara itu, dalam menjawab soalan lain, KPDN memaklumkan bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk menubuhkan rangkaian kedai serbaneka milik kerajaan yang menjual barangan keperluan asas dengan harga rahmah.
KPDN menjelaskan bahawa kerajaan kini lebih memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah MADANI melalui Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), Menu Rahmah, Pakej Rahmah dan Bakul Rahmah untuk mengimbangi kesan kenaikan harga barang dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.
KPDN juga berkomitmen untuk meningkatkan pelaksanaan PJRM agar lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat menikmati barangan keperluan asas pada harga rahmah.
“Sehingga 7 Okt 2024, KPDN melaksanakan PJRM yang menawarkan barangan keperluan asas dengan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran di 7,965 lokasi di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 7.04 juta orang,” menurut jawapan kementerian itu.
Penjelasan itu diberikan bagi menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang ingin mengetahui sama ada KPDN mempunyai rancangan untuk menubuhkan rangkaian kedai serbaneka milik kerajaan yang menjual barangan keperluan asas pada harga rahmah.