Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah telah selamat diijabkabulkan dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dalam satu majlis pernikahan diraja yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada jam 8.50 malam, Khamis lalu. Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengenakan pakaian berwarna hijau turut hadir menyaksikan majlis akad nikah tersebut bersama anak-anak baginda.
Turut hadir ialah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Mahkota Pahang yang juga abang kepada pengantin lelaki serta ahli keluarga diraja yang lain. Tetamu kehormat yang turut meraikan majlis termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertindak sebagai wali dan melangsungkan akad nikah.
Selepas majlis akad, pengantin lelaki menunaikan solat sunat sebelum menyampaikan mas kahwin berupa senaskhah al-Quran kepada Tengku Natasya yang duduk di atas pelamin. Pasangan diraja ini kemudian bertukar cincin diikuti dengan acara tradisional merenjis air mawar yang dilakukan oleh Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan Tengku Hassanal.
Bapa pengantin perempuan, Tengku Adnan dan isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki turut melaksanakan upacara renjis. Tunku Azizah dilihat sebak dan beremosi ketika memeluk anakanda baginda pada majlis tersebut. Majlis perkahwinan ini akan diteruskan dengan majlis berinai pada hari Jumaat dan diikuti dengan majlis resepsi gilang-gemilang pada hari Ahad jam 8 malam.
Kedua-dua acara ini akan disiarkan melalui skrin besar di padang Kuantan City dan Dataran Muzium Diraja di Pekan, membolehkan orang ramai turut sama meraikan majlis penuh kemeriahan ini.