PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya mengutip hasil sebanyak RM3.7 bilion sejak Januari sehingga 31 Ogos lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi berkata, pihaknya akan terus konsisten mengutip hasil daripada perkhidmatan JIM, kutipan hasil levi dan lain-lain program jabatan berkenaan termasuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0.
“Jabatan ini memainkan peranan yang penting bukan sahaja dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan imigresen tetapi turut menyumbangkan kepada kutipan hasil negara,” katanya dalam kenyataan selepas Majlis Tamat Latihan Kadet Kursus Sijil Asas Keimigresenan Gred KP19, KP29 dan KP41 Siri 2 2023 di Port Dickson hari ini.
Katanya, aspek keselamatan dan kedaulatan undang-undang sentiasa menjadi keutamaan JIM dan jabatan itu sentiasa komited dalam usaha membanteras masalah pendatang asing tanpa izin (PATI).
Jelasnya, sejak 1 Januari sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 5,799 operasi telah dilaksanakan dengan 66,551 individu telah diperiksa dan seramai 40,259 PATI telah ditahan.
“Selain itu, seramai 203 majikan telah ditahan sepanjang tempoh ini,” ujarnya.
Ruji berkata, KDN menyokong penuh semua usaha JIM dalam memperkasakan keupayaan sumber manusia dan cadangan pengstrukturan semula organisasi jabatan itu bagi mewujudkan penambahan perjawatan agar peluang kenaikan pangkat yang lebih luas dan laluan kerjaya lebih terjamin.