Sukan

Hannah Yeoh: Faisal Halim Harus Sembuh Sepenuhnya Sebelum Bermain Semula

Hannah menyatakan bahawa beliau ingin memastikan Faisal mengambil masa yang mencukupi dan pulih sepenuhnya sebelum kembali beraksi. Gambar: Astro Awani

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ingin memastikan bahawa Mohamad Faisal Abdul Halim pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor FC pulih sepenuhnya sebelum dia kembali beraksi.

Beliau percaya bahawa Faisal Halim yang berusia 27 tahun dan telah menjadi mangsa serangan asid mempunyai tekad yang kuat untuk kembali bermain tetapi tidak mahu dia terburu-buru untuk kembali ke padang.

“Saya nak pastikan beliau ambil masa dan pastikan betul-betul pulih sebelum keluar bermain kerana saya rasa bola sepak akan menunggu Faisal.

“Saya harap beliau jangan tergeas-gesa, pastikan beliau sembuh sepenuhnya kerana bola sepak perlukan beliau,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan e-sukan bagi warga emas, Boomers2Gamers di sini hari ini.

Faisal dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lepas.

Faisal yang membuat penampilan pertama di khalayak umum sejak insiden itu pada sidang media hari ini, mengakui rindu untuk beraksi di atas padang namun mahu memberikan fokus proses pemulihan terlebih dahulu.

Sumber: BERNAMA