
GEORGETOWN: Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan berkaitan pelancong asing yang tidak keluar dari Malaysia serta kes penjualan MyKad.
Presiden, Tan Sri Mohd Yussof Latiff, berkata data Jabatan Imigresen antara 2012 hingga 2016 menunjukkan 141,000 pelancong dari China dan India tiada rekod kembali ke negara mereka, sekali gus menimbulkan persoalan di mana keberadaan kumpulan terbabit.
“Saya tak tolak kemungkinan mereka berada dalam negara kita dan cuba mendapat dokumen berkaitan untuk berada di Malaysia, antaranya Mykad yang boleh dijual oleh pengkhianat negara tanpa memikirkan kesannya kepada kedaulatan negara kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, penjualan MyKad pula terbongkar pada 2019 apabila ada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang ketika itu didakwa menjual dokumen berkenaan kepada warga China pada harga RM400,000.
Data JPN, katanya, menunjukkan lebih 1.3 juta MyKad dilaporkan hilang akibat kecuaian dalam tempoh 2015 hingga 2019 dan pihaknya khuatir dokumen penting itu dijual kepada warga asing serta pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Mungkin ada pihak tertentu yang secara tidak langsung bersekongkol dalam perkara ini dan kaitan isu ini dengan perkauman tidak boleh diketepikan,” katanya.
Mohd Yussof turut menggesa kerajaan bertindak supaya isu yang diketengahkan tidak menjadi barah kepada negara dan mereka yang terbabit sebagai pengkianat perlu dihukum dengan setimpal kerana jika tidak, Malaysia akan dilanda masalah geopolitik dan ekonomi yang dahsyat.
“Sabotaj ekonomi juga boleh terjadi, begitu juga dengan perisik asing akan menyusup masuk agensi penting seperti polis dan tentera, sekali gus pertahanan negara mudah ditembusi atau dirosakkan. Sehubungan itu, satu memorandum mengenainya akan dihantar kepada Perdana Menteri hari ini,” katanya.
Pada 2019, media melaporkan enam lelaki berusia 34 hingga 66 tahun, termasuk seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown atas 32 pertuduhan mengeluar dan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.
Sumber : BH Online
