KesihatanGlobal

Australia pertahan ujian COVID-19 bagi pelancong China

Kakitangan perubatan membantu pengembara dari China di hadapan pusat ujian COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul, Korea Selatan. – Foto AFP

SYDNEY: Kerajaan Australia hari ini mengecam Beijing kerana tidak telus berhubung isu COVID-19, selepas meningkatkan saringan terhadap pengembara dari China, walaupun tidak disyorkan oleh ketua pegawai perubatannya sendiri.

Semakin banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, dan Jepun kini memperketatkan saringan terhadao pengembara dari China.

China, yang kini memerangi peningkatan ketara kes coronavirus selepas melonggarkan dasar ‘Sifar COVID-19’, memprotes tindakan negara berkenaan sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan mengugut akat bertindak balas.

Sejak Khamis lalu, pengembara dari tanah besar China, Hong Kong dan Macau perlu membuktikan ujian COVID-19 negatif tidak lebih daripada 48 jam sebelum memasuki Australia.

Sejak Khamis lalu, pengembara dari tanah besar China, Hong Kong dan Macau perlu membuktikan ujian COVID-19 negatif tidak lebih daripada 48 jam sebelum memasuki Australia.

Bagaimanapun, Ketua Perbendaharaan, Jim Chalmers, berkata kerajaan hanya mahu memastikan semua aspek keselamatan terkawal.

“Kami amat bimbangkan mengenai ketelusan di pihak China,” katanya kepada agensi media rasmi ABC.

Ditanya sama tindakan memperketatkan saringan itu berunsur politik, Chalmers menafikannya dan menyatakan ia tidak boleh dilabelkan begitu.

“Sememangnya wujud banyak kebimbangan dalam kalangan masyarakat perubatan di seluruh dunia mengenai ketelusan dan kualiti data yang dikeluarkan China mengenai COVID-19.

Data digabungkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan terdapat kes baharu COVID-19 di China sejak lebih seminggu lalu.

Kelmarin, China mengutuk negara yang mengenakan syarat ujian COVID-19 baharu ke atas penumpang warganegaranya yang melakukan perjalanan ke luar negara.

Jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning, berkata tindakan negara berkenaan dibuat tanpa asas saintifik selain tidak boleh diterima.

“Sesetengah negara mengambil sekatan kemasukan yang menyasarkan hanya pengembara China.

“Ini tidak mempunyai asas saintifik dan beberapa amalan tidak boleh diterima,” tegasnya.

COVID-19 di China menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan selepas bertahun-tahun mengenakan sekatan ketat menerusi dasar sifaf COVID-19 dan ia dilonggarkan secara tiba-tiba bulan lalu.

Pada Disember tahun lalu, Beijing mengumumkan pengembara ‘inbound’ tidak lagi perlu dikuarantin, menyebabkan ramai warganya bergegas merancang perjalanan ke luar negara setelah sekian lama menunggu peluang itu.

Negara yang mendakwa ketidaktelusan mengenai data jangkitan dari China dan kemunculan risiko varian baharu menjadi punca mengapa pengembara republik itu disekat.

China merekodkan hanya 22 kematian berkaitan COVID-19 sejak Disember, selepas dikatakan mengecilkan kriteria untuk mengkategorikan kematian itu.

Sumber : AFP