
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menyaksikan perubahan dalam industri jet peribadi awal tahun ini dengan pemeteraian perjanjian antara Sersol Bhd (Sersol) dan MJets Ltd (MJETS) bagi menubuhkan syarikat usaha sama berdaftar tempatan, MJETS (M) Sdn Bhd.
Ia bertujuan membabitkan diri dan mengendalikan terminal Pengendali Pangkalan Tetap (FBO) untuk perniagaan berkaitan penerbangan.
Pengumuman itu susulan pemeteraian Perjanjian Dasar Induk (HOA) di antara kedua-dua syarikat tersebut dalam majlis yang disaksikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, Jun lalu.
HOA itu menekankan komitmen menubuhkan dan menjadi pemegang saham dalam syarikat sendirian berhad yang akan didaftarkan di Malaysia dan Indonesia untuk menceburi dalam perniagaan penerbangan persendirian, perniagaan penerbangan, pengendalian pesawat, pengurusan pesawat, jualan sewaan pesawat, terminal jet peribadi serta aktiviti lain berkaitan penerbangan.
“Kami berbangga memiliki MJETS sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk inisiatif ini kerana mereka mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam perkhidmatan jet peribadi. Mereka merupakan pakar penyelenggaraan dalam industri penerbangan, dan mempunyai keupayaan serta pendekatan strategik untuk mengembangkan perkhidmatan jet peribadi di Malaysia dan juga Asia Tenggera,” kata Datuk Wira Justin Lim, Pengarah Urusan Sersol.
Di bawah skop perniagaan perjanjian usaha sama tersebut, Sersol akan memperoleh keluasan tanah seperti yang diperlukan, lesen perniagaan, kelulusan kerajaan dan pelepasan lain untuk mengendalikan kemudahan jet peribadi di negara ini. Selain itu, Sersol dan MJETS juga akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama untuk penerbangan peribadi, perniagaan penerbangan, pengendalian pesawat, pengurusan pesawat, jualan sewaan pesawat, terminal jet peribadi dan juga aktiviti lain berkaitan penerbangan dalam tempoh enam bulan.
“Memandangkan industri sewaan udara Malaysia masih di peringkat awal, kelayakan MJETS yang menerima kemenangan berganda akan memberi keyakinan kepada pelabur dan konsumer berikutan permintaan terhadap perkhidmatan sewaan bertaraf dunia semakin kukuh,” katanya.
Beliau mengulas lanjut dengan menjelaskan MJETS (M) Sdn Bhd menjangka permintaan tinggi terhadap penerbangan sewaan peribadi memandangkan ekonomi ASEAN sedang berkembang pesat, dengan Malaysia dan Indonesia sebagai hab utama.
Berdasarkan laporan Perkhidmatan Sewaan Udara, pasaran industri itu di peringkat global dijangka berkembang sebanyak 12 peratus pada CAGR, mencecah AS$4.07 bilion dolar menjelang 2027.
Sumber : BH Online
