Global

Gencatan senjata Gaza hampir dimeterai

Seorang pegawai Israel menyatakan bahawa rundingan telah mencapai tahap kritikal walaupun masih ada beberapa perincian yang perlu diperhalusi. – Foto fail/REUTERS

DOHA: Rundingan antara pihak bertelagah di Gaza dan kumpulan perantara diteruskan pada Selasa untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata selepas perbincangan maraton di Qatar.

Kedua-dua pihak dan perantara mengesahkan perjanjian hampir dicapai. Namun, selepas lebih lapan jam perbincangan, seorang pegawai kanan Hamas memaklumkan mereka masih menunggu Israel menyerahkan peta pengunduran tenteranya dari Gaza.

Peta tersebut merangkumi pengunduran dari kawasan Netzarim di tengah Semenanjung Gaza, membolehkan penduduk yang dipindahkan kembali ke rumah mereka, termasuk di Jabalia, Jalan Philadelphi di sempadan selatan dengan Mesir, dan Rafah.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, menyatakan perbincangan mengenai perincian akhir sedang berlangsung selepas kedua-dua pihak menerima teks cadangan perjanjian.

Presiden AS, Joe Biden, juga menyebut perjanjian hampir dimuktamadkan. Hamas berharap pusingan perbincangan kali ini akan menghasilkan kesepakatan berkat usaha mediasi oleh Qatar, Mesir, dan AS.

Seorang pegawai Israel mengesahkan rundingan mencapai tahap kritikal, walaupun beberapa perincian masih perlu diperhalusi.

Jika berjaya, gencatan senjata berperingkat ini dapat menghentikan pertempuran yang menghancurkan Gaza serta meredakan ketegangan di seluruh Asia Barat, yang telah mencetuskan konflik di Tebing Barat, Lubnan, Syria, Yaman, dan Iraq, sambil mengurangkan risiko peperangan besar antara Israel dan Iran.