Global

Gangguan IT Global: AirAsia Komited Teruskan Penerbangan dengan Pemprosesan Manual

AirAsia memaklumkan bahawa para petugasnya sedang bekerja keras tanpa henti untuk memulihkan sistem kawalan berlepas (DCS) mereka.

AirAsia akan terus menjalankan operasi penerbangannya dan menegaskan bahawa pemprosesan manual tetap merupakan kaedah yang paling dipercayai dan selamat sementara syarikat penerbangan itu berusaha memulihkan sistemnya berikutan gangguan teknologi maklumat (IT) global.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah tersebut menyatakan bahawa petugasnya sedang bekerja keras sepanjang masa untuk memulihkan sistem kawalan berlepas (DCS) setelah gangguan teknologi yang telah memberi kesan kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Semua penumpang AirAsia diminta tiba lebih awal di lapangan terbang untuk mengelak kemungkinan kelewatan melakukan daftar masuk manual di kaunter dan menyelesaikan semua formaliti perjalanan,” katanya.

Syarikat penerbangan tersebut juga telah memperkukuhkan operasinya untuk menghadapi gelombang penumpang hujung minggu di lapangan terbang dengan menempatkan lebih 200 kakitangan darat dan hampir 100 sukarelawan serta anggota keselamatan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan.

AirAsia memaklumkan bahawa penumpang yang terbang hari ini perlu memantau status penerbangan mereka dengan menyemak e-mel dan telefon mudah alih berdaftar atau melayari airasia.com/flightstatus untuk mendapatkan kemas kini penerbangan.

Semalam, syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa ia meneruskan operasinya walaupun mengalami gangguan sistem teknologi maklumat global dan memberi nasihat kepada penumpang mengenai kemungkinan kelewatan berlepas disebabkan penggunaan pemprosesan manual.