Sukan

FAM: Prestasi Sabah layak ke AWCL buka lembaran baharu bola sepak wanita negara

Sabah meraih slot ke peringkat kumpulan AWCL apabila muncul juara Kumpulan C pada saingan peringkat awal kejohanan itu dengan mengutip empat mata daripada tiga perlawanan. – Gambar/ Sabah Football Association Women’s Team

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak wanita Sabah mencipta sejarah dengan melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2024/25, membuka lembaran baharu dalam arena bola sepak wanita negara.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa prestasi cemerlang ini boleh memberi inspirasi kepada pemain bola sepak wanita negara untuk lebih menyerlah di peringkat antarabangsa.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sabah FA atas kejayaan skuad bola sepak wanita Sabah melayakkan diri ke AWCL 2024/25,” menurut kenyataan itu.

Sabah meraih tempat di peringkat kumpulan AWCL selepas muncul juara Kumpulan C pada peringkat awal kejohanan, mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan. Sabah memastikan kemenangan penting malam tadi dengan menewaskan PFC Nasaf dari Uzbekistan 2-1 di Stadium Likas, dan sebelumnya, mereka meraih satu mata selepas seri tanpa jaringan dengan APF FC (Nepal) pada Khamis lepas.

FAM juga memaklumkan bahawa skuad kendalian Justin Ganai ini telah diundi dalam Kumpulan A, bersama Wuhan Jiangda Women’s FC (China), Hyundai Steel Red Angels (Korea Selatan), dan Abu Dhabi Country Club (UAE) untuk peringkat kumpulan yang akan berlangsung dari 6 hingga 12 Oktober ini.