
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa isu buli siber di platform media sosial akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat depan. Tujuannya ialah untuk mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek undang-undang dan penguatkuasaan.
Fahmi Fadzil menambah bahawa pembentangan ini diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Mesyuarat juga akan merangkumi laporan mengenai insiden yang melibatkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang dilaporkan meninggal dunia akibat tekanan buli siber.
“Kita bukan hanya melaporkan apa berlaku, tetapi (juga akan) mengambil tindakan, terutama kalau perlu pinda akta, dan kita lihat apakah kelemahan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga seorang pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber, di Gombak Setia di sini, hari ini.
Mayat pempengaruh wanita berumur 29 itu ditemui di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lepas.
Fahmi berkata masalah utama menangani buli siber adalah kebanyakan pelaku bersembunyi di sebalik akaun palsu sehingga menyukarkan usaha mengenal pasti identiti mereka.
“Salah satu aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi daripada pihak polis adalah akaun-akaun yang terlibat dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan ini, berselindung di sebalik fake account, tidak dapat dikenal pasti identiti individu yang mengeluarkan komen atau terlibat dalam scam dan sebagainya,” katanya.
Fahmi menyatakan bahawa keluarga pempengaruh tersebut telah membuat laporan polis, dan kementeriannya telah berhubung dengan TikTok yang telah bersetuju untuk memberi kerjasama yang lebih proaktif.
Beliau kemudian menasihati orang ramai, termasuk penjawat awam untuk mengelak daripada melakukan buli siber dan sebaliknya meneruskan adab dan budaya ketimuran.
Fahmi juga menyatakan bahawa mereka akan menimbangkan perlunya meminda akta sedia ada yang berkaitan dengan buli siber dan beliau menegaskan bahawa individu yang terlibat dalam kes kematian pempengaruh tersebut akan didakwa di mahkamah.
“Perkara ini dimaklumkan kepada Perdana Menteri semalam dan saya juga telah bercakap dengan Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said. Kita mempunyai pendirian yang sama dalam isu ini dan akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi.
“Kesalahan-kesalahan bukan hanya dalam isu seperti mengaibkan atau menzahirkan maklumat peribadi yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, jadi insya-Allah kita akan adakan pertemuan dan meneliti undang-undang sedia ada dan apakah langkah-langkah perlu kita ambil,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini yang mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.
Sumber: BERNAMA
