MAHA 2024 baru sahaja melabuhkan tirai setelah 11 hari berlangsung di MAEPS, Serdang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, keuntungan dari jualan MAHA ini berjumlah RM48 juta dengan kehadiran 5 juta pengunjung.
Angka ini walaupun nampaknya besar, tetapi rata-rata rakyat negara Malaysia ini tidak terlalu terdedah dengan industri pertanian dan yang paling penting mengenai keselamatan makanan atau dalam istilah lain, food security.
Keselamatan makanan sememangnya menjadi satu hal yang meruncing di negara ini. Walaupun Malaysia mempunyai tanah yang luas dan pengeluar terbesar beberapa sektor di dalam industri makanan, mereka masih gagal memanfaatkan tanah yang sedia ada untuk membuat makanan sendiri dan perlu mengimport makanan daripada luar.
Keselamatan makanan bukanlah suatu perkara yang baharu di negara ini. Ketika Datuk Seri (kini Tun) menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia, beliau menggalakkan sektor pertanian dan keselamatan makanan dengan membuat dasar-dasar seperti pertanian adalah perniagaan dan sebagainya. Namun, dasar yang dibawa oleh beliau ini dipandang enteng oleh sesetengah penguasa pada ketika itu yang mana kesannya dirasai pada hari ini, bermula apabila wabak Covid-19 melanda yang mengakibatkan sektor perdagangan terhenti, barulah rakyat Malaysia cakna akan keselamatan makanan ini.
Baru-baru ini, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Haji Mohamad Hasan telah berucap di pentas persidangan Summit For The Future yang berlangsung di New York. Antara intipati ucapan beliau ialah mengenai keselamatan makanan yang semakin meruncing.
Beliau berkata di dalam ucapannya bahawa pada masa kini pun, sesetengah manusia ini tidur di dalam kelaparan, bagaimana kita mahu memberi makan kepada 10 bilion orang pada masa hadapan nanti.
Sejak menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan lagi, Tok Mat tidak lupa akan sektor keselamatan makanan ini. Sebagai contoh, Di dalam Pelan Pembangunan Negeri Sembilan 2015-2045, Pembangunan Agropolis menjadi salah satu teras di dalam pelan itu. Pembangunan Agropolis berfungsi sebagai pusat pengeluaran pertanian dan makanan dan ia dijalankan di beberapa daerah di Negeri Sembilan seperti Kuala Pilah, Jempol, Rembau dan Tampin. Kesemua daerah ini berfungsi sebagai hab sumber makanan bukan sahaja bagi penduduk Negeri Sembilan, tetapi juga bagi penduduk di Lembah Klang.
Seterusnya, soal pertanian dan keselamatan makanan juga merupakan sebahagian daripada diplomasi antara negara. Negara-negara yang mempunyai kepakaran di dalam bidang pertanian boleh berkongsi teknologi dan seterusnya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara sedia ada.
Sebagai bukti, selepas sahaja Tok Mat selesai berucap di persidangan itu, kerajaan Siera Leone berhasrat untuk meminta pertolongan Malaysia di untuk memodenkan sektor pertanian mereka semasa pertemuan di antara beliau bersama Menteri Luar Sierra Leone.
Ini tandanya, diplomasi dengan menggunakan pertanian dan keselamatan makanan ini berjaya dan kesimpulannya penulis berharap agar ucapan Tok Mat itu tidak hanya sekadar kedengaran di bumi Big Apple itu, tetapi mampu menjentik hati semua penguasa untuk berubah demi kemanusiaan yang lebih aman dan sejahtera.
* Penulis ialah Dr Ahmad Ghazali Syafiq
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis .