Malaysia yang bakal mengambil tampuk kepengerusian ASEAN pada tahun 2025 berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama sekali mendepani cabaran terkait konflik keselamatan dan pertahanan serantau. Oleh yang demikian, kerjasama melalui kesatuan yang lebih jitu antara Malaysia dan negara-negara tetangga harus digembleng dalam pelbagai sektor dan bidang yang wajar.
Isu terkait ASEAN dan Malaysia
Usaha untuk mengekalkan pendirian dan prinsip neutral yang diamalkan ASEAN akan menjadi semakin sukar, dek keraja wujudnya ancaman-ancaman baharu yang perlu diuruskan Malaysia khususnya dan ASEAN secara en bloc.
Misalnya, ketegangan di Laut China Selatan yang kian meningkat semakin hari dan dikeruhkan lagi dengan nota diplomatik yang dikemukakan China kepada Malaysia.
Nota tersebut menuntut agar Malaysia menghentikan aktiviti minyak dan gas di beberapa blok utama di luar pesisir Sarawak, berhampiran Terumbu Karang Luconia Shoals. Ia muncul selepas Petronas mengumumkan pengeluaran gas pertama dari platform Kasawari dan Jerun pada bulan Julai dan Ogos 2024.
Bukan itu sahaja, sejak kebelakangan ini wujud berita mengenai kehadiran kapal-kapal pengawal pantai dan pesawat-pesawat tentera di kawasan tersebut. Ia jelas memberikan signal yang kurang murni kepada hubungan China-Malaysia serta dinamika hubungan China-ASEAN secara amnya.
Tempoh kepengerusian ASEAN yang diamanahkan kepada Malaysia bakal diwarnai oleh pergerakan politik yang menyelubungi Laut China Selatan. Malaysia, sebagai sebuah negara maritim tidak harus memandang mudah perkembangan di atas. Secara keseluruhan, ekonomi maritim menyumbang sebanyak 23% kepada KDNK negara untuk tahun 2015, yang meliputi sektor perekonomian seperti penghasilan mintak minyak mentah dan gas semulajadi di luar pesisir, perikanan dan akuakultur, pengangkutan maritim serta pelancongan.
Jika Malaysia berhadapan dengan tindakan-tindakan agresif dan provokatif kuasa besar dunia seperti China secara berterusan, ia secara langsung menganggu usaha yang sedang dan akan dilaksanakan untuk mengurus ekonomi maritim dalam ruang lingkup sempadan negara kita sendiri.
Selain itu, negara-negara ASEAN lain yang “berkongsi” isu sama seperti Indonesia, Brunei, Filipina dan Vietnam – terutama sekali terkait dengan kawasan “nine-dash line”, juga dikhuatiri bakal menghadapi siri-siri provokasi dari China dalam tahun mendatang. Tentu sekali jika ini berlaku, ia akan sedikit sebanyak menganggu keseimbangan politik, keselamatan dan pertahanan rantau Asia Tenggara dan tatakelola ASEAN itu sendiri.
Kebersamaan Malaysia-Indonesia
Oleh yang demikian, dalam menghadapi isu-isu mendatang terkait dengan Laut China Selatan atau hal-hal lain hendaklah berlandaskan pegangan bahawa “ASEAN is not a proxy of any power”. Maka, adalah wajar untuk Malaysia meningkatkan kerjasama dengan negara tetangga seperti Indonesia dengan meningkatkan sinergi yang telah sedia terjalin kepada tahap yang lebih efektif dan utuh.
Meskipun Malaysia dan Indonesia sedang menguruskan beberapa isu tertangguh seperti tuntutan sempadan di Laut Sulawesi, namun wujud beberapa lagi aspek keselamatan yang pertahanan yang boleh digiatkan Malaysia-Indonesia dalam menghadapi dan mengimbangi pengaruh kuasa-kuasa besar asing di rantau ini.
Saranan ini juga sejajar dengan intisari lawatan YB Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Presiden Terpilih merangkap Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto pada April lalu. Kedua-dua mereka bersetuju bahawa hubungan pertahanan dan keselamatan di antara Malaysia dan Indonesia sedia ada wajar ditingkakan selari dengan tuntutan semasa.
Antara yang boleh dilihat adalah:
Pertama, kerjasama Trilateral Intelligence Exchange (INTELEX) antara Indonesia, Malaysia dan Filipina wajar ditingkatkan memandangkan bentuk kerjasama ini telah terbukti berkesan dalam menjaga kestabilan rantau dan mengurangkan risiko ancaman keselamatan kepada ketiga-tiga buah negara yang terlibat, terutama sekali di perairan Sulu dan Sulawesi.
Kedua, kerjasama pertahanan Malaysia-Indonesia yang berakar sejak tahun 1972 wajar dibawa ke peringkat yang lebih tinggi, meliputi kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan di antara kedua-dua buah negara.
Ketiga, kerjasama keselamatan dan pertahanan di antara Malaysia-Indonesia meliputi aspek mengekang aktiviti terorisme, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan lain-lain aspek keselamatan bukan tradisional juga hendaklah ditingkatkan. Ia boleh dilaksanakan dengan mengembleng koordinasi TNI-POLRI, ATM dan juga PDRM bagi menghasilkan impak yang lebih terarah dan maksima.
Penutup
Dinamika keselamatan dan pertahanan rantau Asia Tenggara akan menjadi semakin mencabar. Anasir-anasir luar, tertutama sekali dari negara-negara kuasa besar amat memerlukan kebijaksanaan negara-negara ahli ASEAN bagi mengemudi cabaran-cabaran yang wujud.
Oleh itu, kerjasama yang terarah dan ampuh di antara Malaysia dan negara-negara jiran, antara lain Indonesia amatlah memberi manfaat kepada Malaysia. Hubungan kerjasama pertahanan di antara Malaysia dan Indonesia yang bermula sejak 1972 tentu sekali menyimpan seribu satu kelebihan dan potensi yang wajar ditingkatkan.