Hari ini, Menteri Luar Negeri Britain, David Cameron menyatakan bahawa Israel seharusnya tidak melancarkan serangan ke bandar selatan Gaza, Rafah tanpa menyediakan rancangan yang jelas untuk melindungi penduduk setempat.
“Jika ada serangan besar di Rafah, mesti ada rancangan jelas mengenai cara kamu menyelamatkan nyawa, bagaimana kamu memindahkan orang ramai, bagaimana kamu memastikan mereka diberi makan. Kamu memastikan mereka mempunyai bekalan ubatan, tempat tinggal dan segala-galanya. Kamu tidak menyediakan rancangan sedemikian, jadi kami tidak menyokong serangan dengan cara sebegini,” katanya kepada stesen televisyen, Sky News.
Israel melakukan serangan tambahan ke atas Hamas di Gaza hari ini setelah mereka memperluaskan arahan pemindahan ke bahagian timur Rafah.
Rejim telah mengumumkan bahawa kira-kira 300,000 orang telah meninggalkan bandar-bandar di wilayah Palestin sejak tentera Israel menggesa penduduk untuk berpindah dari sana.
Cameron juga menyatakan bahawa Israel perlu meningkatkan usaha mereka untuk membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.
“Saya sudah berkali-kali mengatakan saya tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil alih oleh Israel terhadap bantuan kemanusiaan,” katanya sambil menambah kamasukan bantuan memang bertambah, tapi tidak cukup pantas.
Peperangan di Gaza bermula setelah serangan Hamas pada 7 Oktober yang menyebabkan lebih 1,170 tentera dan penduduk Israel terbunuh.
Dengan hasrat untuk memusnahkan Hamas, Israel telah memulakan serangan balas yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 34,971 nyawa di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.