Global

Darurat Bencana di Barat Indonesia: 34 Terbunuh, 16 Hilang dalam Banjir dan Lahar Gunung Marapi

Gambaran lahar dari Gunung Marapi terlihat dari Nagari Batu Palano di Agam wilayah Sumatera Barat, Indonesia. Gambar: Reuters

Sekurang-kurangnya 34 orang telah terbunuh dan 16 lagi dilaporkan hilang di barat Indonesia akibat banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari salah satu gunung berapi paling aktif di kepulauan tersebut. Aliran lahar sejuk, yang merupakan campuran abu, debu, dan batu besar yang dihanyutkan oleh hujan, terlihat mengalir dari Gunung Marapi telah merosakkan rumah, jalan raya dan masjid menurut pihak berkuasa tempatan hari ini.

Hujan lebat selama berjam-jam telah menyebabkan banjir di dua daerah iaitu Agam dan Tanah Datar di wilayah Sumatera Barat pada petang Sabtu, mengancam ribuan penduduk karena campuran abu dan batu besar juga terlihat mengalir dari Gunung Marapi.

“Sehingga kini, data kami menunjukkan 34 orang meninggal dunia, iaitu 16 di Agam dan 18 di Tanah Datar. Sekurang-kurangnya 18 mangsa lain cedera. Kami juga masih mencari 16 mangsa lagi,” kata jurucakap agensi bencana Sumatera Barat, Ilham Wahab.

Beliau menyatakan bahawa usaha pencarian melibatkan penyelamat tempatan, polis, tentera dan sukarelawan. Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik memberitahu pemberita bahawa tiga lagi individu dilaporkan meninggal dunia, walaupun pihak berkuasa lain masih belum mengesahkan hal tersebut. Banjir kilat dan aliran lahar sejuk melanda Agam dan Tanah Datar sekitar jam 10.30 malam (1530 GMT) pada Sabtu seperti yang dilaporkan oleh agensi mencari dan menyelamat Basarnas.

Lahar sejuk juga dikenali sebagai lahar campuran debu, abu, pasir, dan batu kerikil dibawa turun ke cerun gunung berapi oleh hujan. Lebih kurang 370,000 orang tinggal di Tanah Datar, di mana beberapa masjid dan kolam awam mengalami kerosakan, selain daripada batu besar dan pokok yang tumbang kelihatan berselerakan di atas tanah. Sementara itu, jalan yang menghubungkan bandar Padang dan Bukit Tinggi mengalami kerosakan teruk dan laluan untuk kenderaan turut terputus.

Imej dari udara di Tanah Datar menunjukkan jalan raya diliputi lumpur. Ilham menyatakan bahawa pihak berkuasa masih menerima laporan mengenai kehilangan mangsa daripada saudara-mara terdekat. Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan angka jumlah penduduk yang dipindahkan dari kawasan terjejas kerana usaha pencarian dan penyelamatan masih tertumpu kepada mangsa dan mereka yang masih hilang. Wartawan melaporkan bahawa dua trak telah dihanyutkan oleh banjir dan arus deras di sungai berhampiran.

Ketua agensi bencana daerah, Budi Perwira Negara menyatakan bahawa di Agam tempat tinggal lebih daripada 500,000 penduduk, berpuluh-puluh rumah dan kemudahan awam mengalami kerosakan menyebabkan 90 orang dipindahkan untuk berlindung di sebuah sekolah. Pihak berkuasa telah menghantar pasukan penyelamat dan bot untuk mencari mangsa yang hilang serta membawa penduduk ke pusat perlindungan. Kerajaan tempatan telah menubuhkan pusat pemindahan dan pos kecemasan di beberapa kawasan Agam dan Tanah Datar.