Sukan

Azizulhasni Awang Naik Podium Lagi! Raih Gangsa di Final Keirin Piala Trek Jepun II

Azizulhasni meraih pingat gangsa kedua di Jepun. Gambar: FB Azizulhasni Awang

Datuk Mohd Azizulhasni Awang jaguh berbasikal trek negara naik podium untuk kedua kalinya dalam tempoh kira-kira 24 jam setelah memenangi pingat gangsa dalam final keirin lelaki pada Piala Trek Jepun II di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini. Azizulhasni yang juga meraih gangsa dalam acara pecut semalam terpaksa akur dengan kehebatan dua pelumba tuan rumah yang menyaksikan Kaiya Ota meraih emas dan perak menjadi milik Kento Yamasaki.

Dalam perlumbaan hari ini, Azizulhasni juara dunia 2017 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam keirin melakukan pecutan awal tetapi Ota dan Yamasaki berjaya memintas untuk mendapat tempat pertama dan kedua bagi Jepun. Ini merupakan kemenangan kedua bagi Ota dalam acara ini selepas dia mengalahkan Azizulhasni dalam perlumbaan pecut lelaki.

Pada masa yang sama, pelumba negara lain, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang gagal melayakkan diri ke final menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Sementara itu, bintang muda basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menduduki tempat ketujuh dalam keirin wanita setelah mendominasi perlumbaan tempat ketujuh hingga 12 setelah gagal mencapai final.

Kedudukan tiga teratas dikuasai oleh pelumba Jepun dengan Mina Sato meraih emas, Fuko Umekawa meraih perak dan Riyi Ohta membawa pulang gangsa.

Perlumbaan di Jepun ini adalah sebahagian daripada persediaan bagi Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah yang merupakan tiga pelumba berbasikal trek negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum mereka menghadapi cabaran di temasya sukan berprestij tersebut yang bermula pada bulan Julai akan datang.