Politik

Ahmad Zahid: Kekuatan Kesatuan Antara BN, PH dan Parti-Parti Komponen

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi kenyataan kepada media selepas Sambutan Ulang Tahun ke-78 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Gambar: Bernama

Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menunjukkan kesatuan yang kukuh antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa walaupun isu ‘UMDAP’ (UMNO-DAP) dibangkitkan oleh beberapa pihak semasa pilihan raya tersebut, hubungan yang teguh antara Barisan Nasional (BN), PH dan parti-parti komponen lainnya terus menjadi asas kepada kerajaan.

“… tunjang ini mesti diperkukuh, saya telah nyatakan bahawa kepimpinan DAP banyak membantu calon BN dalam pilihan raya-pilihan raya kecil dan ini pertama kali calon DAP bertanding di PRK, tidak salah jika kita membalas budi yang telah ditabur oleh mereka. Kejayaan hari ini adalah satu bukti bahawa jika kita mempunyai daya tahan yang tinggi, apapun yang disimbah oleh pihak seteru politik, kita tetap kukuh, tetap utuh untuk mempertahan Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Ahmad Zahid menyuarakan pandangan tersebut selepas majlis Sambutan Ulang Tahun ke-78 UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Ahmad Zahid juga mengucapkan tahniah kepada calon dan PH atas kejayaan mereka dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

“Terima kasih juga kepada jentera BN dan UMNO serta jentera Kuala Kubu Baharu di seluruh negeri Selangor termasuk kawan-kawan dari bahagian-bahagian lain seluruh negara,” katanya.

Pang Sock Tao yang bertanding di bawah bendera PH bagi Kerajaan Perpaduan, meraih kemenangan dengan majoriti 3,869 undi mengalahkan tiga calon lawannya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).