GlobalJenayah

Bekas Ratu Cantik Ecuador Ditembak Mati di Tempat Awam

Rakaman viral menunjukkan bekas ratu cantik dari Ecuador ditembak.

Kejadian baru-baru ini menggemparkan apabila rakaman video yang tular menunjukkan bekas ratu cantik di Ecuador, Landy Parraga Goyburo ditembak mati dalam sebuah restoran yang sibuk pada siang hari. Mirror UK melaporkan bahawa Landy Parraga Goyburo yang sebelum ini menyertai pertandingan untuk merebut gelaran Miss Ecuador menjadi sasaran penembak ketika berada di restoran dengan pasangannya. Pasangan tersebut sedang menikmati sarapan di pusat beli-belah La Quadra di El Guayacan dekat Quevedo pada pagi Ahad ketika kejadian berlaku.

Rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki menyelinap masuk ke dalam restoran sebelum salah seorang daripada mereka menyerang pasangan tersebut. Parraga yang berusia 23 tahun terjatuh manakala pasangannya berusaha untuk melindungi dirinya. Salah seorang daripada penyerang yang bertopeng mengacukan pistol kepada pasangan tersebut sebelum melepaskan beberapa das tembakan. Bekas peserta pertandingan ratu cantik itu telah ditembak beberapa kali sebelum penyerang melarikan diri.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah. Pada masa ini, tidak jelas sama ada pasangannya selamat dari kejadian tersebut. Pihak polis sedang berusaha untuk mengesan penyerang tersebut. Parraga sebelum ini mewakili Wilayah Los Ríos sebagai peserta Miss Ecuador pada tahun 2022 dan mempunyai lebih sejuta pengikut di seluruh akaun media sosialnya.

Namanya disebut dalam perbualan yang didedahkan kepada umum oleh Pejabat Peguam Negara pada Disember 2020 dan dipetik oleh individu yang berkaitan dengan kes jenayah terancang.