HiburanTempatan

Kejayaan Filem ‘Sheriff’: Dorongan Baharu untuk Industri Perfileman Malaysia

Selepas 14 hari ditayangkan di pawagam tempatan di seluruh negara, filem Sheriff berhasil mengautkan RM44.5 juta. Gamber: IG Astro Shaw

Filem “Sheriff”, arahan Syafiq Yusof terus mendapat sambutan luar biasa di pawagam walaupun telah memasuki minggu kedua tayangan di seluruh negara dengan kutipan terkini mencapai RM44.5 juta. Datuk Yusof Haslam, bapa kepada Syafiq menyatakan bahawa kejayaan ini telah menyemarakkan semangat baru dalam industri perfileman negara yang sebelum ini mungkin kelihatan suram tanpa karya-karya yang memberangsangkan.

“Alhamdulillah dengan sambutan Sheriff yang memberangsangkan di pawagam, industri (perfileman) kembali bernafas. Keadaan ini sekali gus menyuntik semangat kita untuk terus berjuang berkarya menghasilkan filem yang berkualiti,” katanya ketika diwawancara sebagai tetamu kehormat pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Sebelum ini, filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” arahan Shamsul iaitu anak Yusof yang lain mencatat sejarah dengan kutipan pecah panggung RM97 juta pada tahun 2022 menjadikannya filem dengan kutipan tertinggi di negara ini. Yusof Haslam yang juga Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif bersama filem “Sheriff” turut mengucapkan terima kasih kepada penonton yang memuji garapan luar biasa filem “Sheriff” dan menganggap watak dalam filem tersebut memberi kesan yang mendalam kepada mereka.

Filem “Sheriff” yang mula ditayangkan pada 19 April lalu menampilkan Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan. Filem ini mengisahkan Nazri, seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang menghadapi masalah sindiket dadah yang semakin berleluasa yang dipimpin oleh Tony Ifrit (Aaron Aziz). Nazri merasa terdesak untuk menyelesaikan kes tersebut sendiri kerana Tony sering berjaya melepaskan diri daripada tindakan undang-undang. Pada masa yang sama, Sheriff seorang anggota dari Jabatan Integriti yang dihantar oleh Ketua Polis Negara (KPN) untuk menyelesaikan kes “Meth Killer” ditugaskan untuk bekerjasama dengan Nazri di bawah satu jabatan.