Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang pelajar senior.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyatakan bahawa siasatan terperinci terhadap kes ini sedang dijalankan oleh pihaknya.
“ATM memandang serius isu sebegini dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes ini,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, ATM dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa mereka sedang menyiasat kes buli dan dera yang melibatkan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM di mana pegawai kadet tersebut dibuli oleh seorang senior menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada menyebabkan kesan lecur seperti yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan tersebut, kes ini sedang disiasat di peringkat ALK-UPNM.