
Kerajaan bertekad mengambil tindakan tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing, termasuk mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan kegiatan berkenaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keselamatan anggota penguat kuasa serta kedaulatan negara tidak boleh dikompromi dalam usaha menangani pencerobohan sempadan.
Pendirian itu disuarakan susulan kematian anggota Unit Perisikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin. Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau amat terkesan dan kecewa dengan tindakan pihak yang sanggup mengancam keselamatan anggota serta mencabuli kedaulatan negara.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam di Sungai Padang, Perlis, bot ronda APMM yang dinaiki Mohd Roshaimi dipercayai sedang mengejar sebuah bot disyaki membawa sembilan warga Myanmar sebelum terlanggar benteng pantai. Impak perlanggaran itu dipercayai menyebabkan beberapa anggota tercampak keluar daripada bot berkenaan.
Mohd Roshaimi, 41, yang juga bapa kepada dua anak disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi anggota APMM mengalami kecederaan. Perdana Menteri bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga APMM atas kehilangan tersebut.
Anwar menegaskan pengorbanan Allahyarham tidak boleh dibiarkan sia-sia dan semua pasukan penguat kuasa perlu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang pencerobohan sempadan. Kerajaan bersama pasukan keselamatan akan memastikan dalang, anggota sindiket serta pihak yang membantu mereka dibawa ke muka pengadilan dan dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.




