TempatanJenayah

8,500 premis diberi amaran susulan pelaksanaan Akta 852

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menampal poster ‘Dilarang Merokok’ di hadapan premis ketika mengadakan Tinjauan Mesra Premis Bersih dan Bebas Asap di Eco Grandeur Puncak Alam hari ini.

KUALA SELANGOR: Sebanyak 8,500 premis di seluruh negara telah diberikan amaran kerana melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata kesalahan tersebut dikesan melalui 283 operasi khas yang dijalankan selama lima hari, melibatkan 4,481 penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kami tidak mengenakan tindakan penguatkuasaan seperti kompaun, sebaliknya hanya memberikan amaran berbentuk literasi, penerangan, dan penjelasan,” katanya. Namun, sepanjang operasi tersebut, tindakan tegas diambil terhadap 12 perokok yang melanggar larangan merokok di kawasan larangan, selaras dengan peraturan yang sedia ada.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBas) peringkat negeri Selangor hari ini.

Akta 852, yang diwartakan pada 2 Februari lalu, berkuat kuasa serta-merta secara berfasa mulai 1 Oktober, bersama peraturan-peraturan dan perintah yang bertujuan mengurangkan kemudaratan akibat merokok serta penggunaan produk tembakau lain seperti rokok elektronik atau vape, terutama dalam kalangan golongan muda. Penguatkuasaan ini juga melibatkan penjualan produk merokok yang menarik perhatian kanak-kanak dan remaja, untuk mengekang akses mereka kepada produk tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr. Dzulkefly menyatakan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, mengenai kelewatan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini, adalah kurang tepat. Pasukan petugas itu, yang terdiri daripada ahli panel bebas, ditubuhkan untuk menganalisis input siasatan insiden tersebut dengan lebih mendalam.

Sebelum ini, Khoo meluahkan rasa kecewa bahawa pasukan petugas itu hanya akan ditubuhkan pada 10 Oktober, lebih sebulan selepas kematian Dr. Tay Tien Yaa pada 29 Ogos. Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa kelewatan ini mungkin menjejaskan keadilan terhadap Dr. Tay dan menekankan perlunya perubahan bagi melindungi petugas kesihatan.