
GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditemui lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Tokong hari ini. Mayat A. Sekar, 44, dijumpai terdampar di atas batu kira-kira 50 meter dari persisiran pantai pada jam 6.34 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Lee Swee Sake, berkata hasil siasatan mendapati Sekar, seorang penduduk tempatan, datang ke pantai bersama seorang rakan untuk mandi.
“Mangsa dilaporkan berenang ke arah sebuah batu tetapi tidak kembali ke pantai sebelum mayatnya ditemui terdampar di situ,” katanya.
Mangsa dibawa ke darat oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
