Global

500,000 kanak-kanak di Gaza alami trauma perang – UNRWA

Kanak-kanak di Gaza berjalan di tepi bangunan yang musnah selepas menerima bantuan makanan di Semenanjung Gaza. – Foto REUTERS

AMMAN: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) bertemu dengan Menteri Luar Jordan untuk perbincangan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza, pada Ahad.

Dalam sidang akhbar bersama, Ayman Safadi dan Phillipe Lazzarini menekankan peranan penting yang dimainkan oleh UNRWA di Gaza, terutamanya dalam pendidikan.

“Hari ini terdapat setengah juta kanak-kanak perempuan dan lelaki yang sangat trauma, tinggal dalam runtuhan Gaza, yang mana terdapat keperluan mendesak untuk dibawa kembali ke persekitaran pendidikan tidak formal dan kemudian ke persekitaran pendidikan formal.

“Lebih lama kita menunggu, lebih banyak risiko kepada usaha menyemai benih kebencian pada masa depan dan mungkin lebih ekstrem,” katanya.

Dalam pada itu, Lazzarini turut mendakwa tentera Israel bertindak menceroboh premis PBB dan mengganggu kakitangan UNRWA.

UNRWA merupakan organisasi bantuan antarabangsa terbesar yang aktif di Gaza.

Israel telah menuduh kumpulan itu bekerjasama dengan Hamas dan beberapa kakitangannya terlibat secara langsung dalam serangan pada 7 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Safadi menyifatkan keadaan di Gaza sebagai “malapetaka kemanusiaan”.

Beliau juga memberi gambaran serius tentang situasi yang berlaku di Tebing Barat.

“Kami semua, menyokong perjanjian pertukaran. Kami percaya adalah penting untuk membawa ke gencatan senjata tetapi bukan itu sahaja yang kami mahu.

“Terdapat pencerobohan haram, kejam, tidak berperikemanusiaan berterusan di Gaza, yang mangsanya adalah orang awam yang tidak bersalah.

“Lebih 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh, yang majoritinya adalah kanak-kanak. Terdapat malapetaka kemanusiaan dan pencerobohan ini terus memburukkannya lagi dan ia harus dihentikan,” katanya.

Israel telah menduduki Tebing Barat, yang terpisah dari Semenanjung Gaza sejak 1967.

Malah, peneroka haram Israel dilihat semakin aktif membina komuniti yang disifatkan banyak negara sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.