
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyerahkan tanggungjawab kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mengumumkan calon parti bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor. Menurut beliau, keputusan itu telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti.
“Saya serahkan kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk membuat pengumuman calon PRK DUN Mahkota,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perundangan Antarabangsa Mengenai Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Pada hari Isnin yang lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, memaklumkan bahawa calon BN untuk PRK DUN Mahkota akan diumumkan oleh Ahmad Zahid dalam minggu ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.
PRK ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos yang lalu pada usia 64 tahun.
